Isnin, 30 Januari 2017

Diari..


Ada perkara yang perlu ikut kata hati

Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Mereka yang tidak berada dalam tapak kasut kita,  tidak akan faham apa kita rasa dan lalui. 

Saya pernah menulis beribu nota dan motivasi didalam pelbagai buku catatan. 

Pelbagai salinan petua, azam dan segala tapi kini saya tidak tahu buku buku catatan itu di mana. 

Blog kini telah mengambil alih segala buku catatan saya. 

Ketika sekolah saya suka menulis diari. 

Malah ketika belajar di IPT dan berpisah dengan sahabat karib saya Suriyati.  Saya berutus surat dengan siap tarikh selama seminggu tertulis apa yang saya buat dan terjadi dalam hidup. 

Bayangkan betapa penting tarikh tarikh walaupun ia ditulis dalam surat untuk memberitahu sahabat saya apa yang saya lakukan tiap hari selama seminggu itu. 

Kata sahabat saya,  surat itu melambangkan keikhlasan saya dalam menulis. 

Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi penulis Blog.
Tidak pernah bermimpi untuk pembaca Blog ini bermesej,  berwhatapps,  menghantar email apa lagi sanggup menelefon saya menanyakan pendapat,  bercerita masalah dan pelbagai lagi. 

Malah dalam satu hari pelbagai What apps dan panggilan telefon yang saya terima. 

Ada yang saya balas,  dan ada yang saya terpaksa biarkan dan akhirnya menjawab dalam setiap artikel dalam Blog ini. 

Saya mungkin tidak mampu memberi sedekah dalam bentuk wang kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini. 

Tapi sekurang-kurangnya saya diberi kesempatan dan keizinan untuk berkongsi info dan pengalaman yang saya harap amat berguna dan menyelesaikan pelbagai masalah bagi pembaca yang saya faham terpaksa mengorbankan masa untuk mencari cara penyelesaian masalah masing masing. 

Percayalah sehingga kini saya masih menerima teguran dari sahabat terdekat saya supaya saya mengfokuskan Facebook dan medan media sosial lain untuk promosi segala produk dan perkhidmatan serta perniagaan yang saya jalankan. 

Ayat "sekarang orang dah tidak baca blog".. Segala macam kritikan dan pandangan saya hormati dan sejujur nya diakui oleh saya sendiri. 

Mengapa ingin menegakkan benang yang basah sedangkan saya tahu dan sedar apa yang dikatakan oleh sahabat saya benar sekali. 

Saya tidak berminat untuk berlawan kerana saya tahu sayang sebenar sahabat saya untuk saya. Nasihat beliau untuk saya.  Saya cukup kenal siapa sahabat yang ikhlas terhadap saya walau mungkin kata-katanya tidak memberi semangat untuk sesuatu yang saya sukai. 

Percayalah saya ada sebab tersendiri menulis Blog ini. 

Blog pertama saya ini lebih kepada Blog peribadi.

Sebuah perkongsian untuk mereka yang mungkin mengalami peristiwa dan pengalaman seperti saya yang inginkan nasihat dan cebisan maklumat dalam setiap perjalanan sebuah pengalaman. 

Saya tidak kisah jika semakin ramai tidak membaca Blog.
Blog saya mungkin bukan untuk mereka. 

Blog saya ini untuk mereka yang tinggal yang masih rajin membaca dan mencari maklumat yang diperlukan. 

Dalam 6 billion penduduk di muka bumi.  Saya melihat sendiri statistik pembaca Blog saya ini sehingga sehari hampir 2500 paparan walau Blog ini baru menghampiri usia 4 tahun dan tidak sampai 520 artikel. 

Melihat statistik ini saya faham bahawa setiap manusia itu berbeza minat dan cinta. 

Berbeza pegangan dan tujuan. 

Saya pasti akan aktif Facebook, instagram, twitter, LinkedIn dan pelbagai medan media sosial dalam waktu terdekat.  Saya masih belajar untuk itu.  

Saya tahu betapa perlunya pandai menggunakan media sosial zaman ini.

Beri saya masa,  saya perlukan tunjuk ajar dan insyallah saya akan lebih bijak menggunakan ia. 

Untuk mereka yang merasa malas berkongsi dan menulis di Blog. 

Jika tiada siapa yang sudi baca ia tidak apa,  janji anda baca dan ingat segala pengalaman,  kebodohan dan siapa anda sebelum dan selama ini,  anda boleh kutuk diri anda dalam waktu yang sama perbaiki apa yang perlu diperbaiki. 

Melihat dari setiap artikel Blog ini,  saya sedar banyak perkara perlu saya belajar dan banyak pengalaman hidup yang belum saya tempuhi. 

Ketika bosan,  sedih dan kurang bersemangat saya akan membaca Blog saya sendiri dan mengimbas setiap perjalanan dan cabaran yang berjaya saya tempuhi dan kembali beraksi. 

Tiada yang lebih jujur pada diri anda jika bukan anda sendiri. 

Menghitung usia 4 tahun Blog ini beberapa hari lagi,  saya amat bersyukur kerana saya telah melepasi masa 4 tahun dan insyallah akan terus diberi rezeki dan kesempatan untuk blogging dan memberi manfaat kepada insan lain. 

Semoga saya terus diberi pelbagai bentuk rezeki yang halal lagi banyak untuk dikongsi bersama. 


Terima kasih. 


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...