DALAM saranannya
kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tentang cara untuk memulihkan
ekonomi Amerika, penulis terkenal Thomas Friedman mengesyorkan supaya
“mewujudkan lebih banyak pekerjaan – Steve Jobs”. Inilah gambaran peri
pentingnya Steve Jobs di persada korporat Amerika malah di dunia juga.
Beliau dinobatkan sebagai “ketua pegawai eksekutif
sepanjang dekad (CEO of the Decade)” oleh majalah peniagaan Fortune, menghiasi
kulit depan majalah Times, Business Week dan Fast Company beberapa kali. Beliau
juga menjadi bahan beberapa buah buku yang berkaitan dengan pengurusan dan
inovasi syarikat Apple yang diterajuinya telah memotong Microsoft sebagai
syarikat teknologi yang terkemuka dan peranti komunikasi yang dilancarkannya
baik IPod, dan IPad mendapat sambutan yang amat memberangsangkan di serata
dunia.
Prestasi yang
sedemikian tentunya menjadi bahan kajian yang menarik di sekolah perniagaan.
Setiap syarikat ingin mejadi “Apple” dalam industri masing-masing. Apakah
rahsia kejayaan beliau dan dapatkah rahsia tersebut dimanfaatkan oleh syarikat
lain? Dalam temu ramah dengan bekas pekerja, rakan kongsi dan pemerhati Apple
jelas teras kejayaan ini adalah berkisar pada disiplin, fokus, pemikiran jangka
panjang dan bersedia untuk tidak mematuhi peraturan yang membelenggu kebanyakan
perniagaan.
Walau bagaimanapun,
terdapat ciri ketara yang diamalkan oleh Steve Jobs dan Apple yang menjamin
kelangsungan kejayaan mereka:
1.Pemasaran Adalah Segalanya
Sebagaimana Genius
Bar yang memberi khidmat nasihat dan baik pulih peranti Apple membuktikan
keberkesannya, slogan Apple: “Fikirkan Perbezaan (Think Different) ternyata
lebih daripada dua perkataan yang biasa. Apple berjaya membentuk persepsi
pelanggan dan peminatnya dan menanamkan tanggapan dalam kalangan pembelinya yang
mereka sebenarnya merupakan golongan sasaran terpilih.
Hal ini dapat dianggap sebagai usaha pemasaran yang
berkesan. Lihat earbuds berwarna putih IPod, bunyi permulaan
Mac atau bentuk unik MacBook, semuanya ini bukan kebetulan. Apple memahami
citarasa dan kecenderungan pengguna dan berusaha untuk memenuhinya dengan
memberikan pengalaman yang mengujakan di samping memantapkan jenamanya. Keadaan
ini dilanjutkan lagi dengan ketelitian semasa melancarkan produknya. Semuanya
dirancang dengan terperinci bagi membuatkan acara pelancaran itu diingati oleh
pelanggan untuk beberapa lama. Contohnya poster IPad menunjukkan waktu 9.41
pagi. Mengapa? Ketika itulah Steve Jobs memperkenalkan IPad kepada dunia. Di
Apple semuanya dirancang secara teliti dan terperinci dan segalanya berkaitan
dengan pemasaran.
|
menjadikan maklum balas dan mengadakan kajiselidik pengguna |
2. Maklum Balas Sebagai Inspirasi
Steve Jobs sering
mengulangi kenyataan Henry Ford, “Jika saya mendapatkan maklum balas daripada
pengguna, tentunya mereka menginginkan kuda yang lebih pantas.” Inilah alasan
Steve Jobs mengapa Apple enggan mendengar saranan pelanggannya dan tidak
percaya kepada “kumpulan fokus” untuk mencari idea mencipta produk mereka.
Sebenarnya beliau tidak mengetepikan pandangan pelanggan sebaliknya,
menggunakan pandangan tersebut sebagai inspirasi bukannya panduan untuk
mencipta produk. Sejak Netbook diperkenalkan, pelanggan Apple menggesa beliau
tampil dengan produk yang sama kerana ternyata Apple telah ketinggalan dalam
segmen yang berkembang pantas ini.
Alasan Steve ketika
itu, “Kita tidak tahu cara untuk membuat komputer yang bernilai $AS500 Dolar
(RM1750) yang bukannya besi buruk. IPad bukannya Netbook. IPad mempunyai ciri
yang melebihi dan kurang daripada Netbook dan tentunya IPad bukan kuda yang
lebih pantas.”
3.Berani Mengatakan “Tidak”
Tugas utama Steve
Jobs di Apple adalah untuk mengatakan “tidak”, iaitu menapis setiap idea produk
yang dikemukakan oleh pekerjanya. Setiap jurutera yang pernah berinteraksi
dengan beliau mempunyai cerita sendiri, iaitu cara beliau membuat keputusan
yang pantas membunuh idea yang dirasakannya tidak mempunyai daya maju. Dalam
temu ramah beliau mengatakan, “saya bangga dengan setiap produk yang tidak
dihasilkan sebagaimana saya bangga dengan setiap produk yang dihasilkan.” Bukan
sahaja kecenderungan Steve mengelakkan produk yang kompleks yang mendorong
beliau mengatakan “tidak”.
Kejayaan Apple
disebabkan oleh produk yang mempunyai margin keuntungan yang tinggi dan
mempunyai keazaman yang kuat mengatakan “tidak”. Apple Berjaya mengawal kos
pengeluaran ditahap yang rendah. Dengan mengatakan “tidak” kepada kehendak
pengguna dalam produk yang mula diperkenalkannya, Apple berjaya menarik minat
mereka dalam versi terbaharu produknya. Strategi ini ternyata berkesan setiap
kali versi baru diperkenalkan Apple akan memasukkan ciri yang tiada dalam versi
pertama yang dikehendaki oleh penggunanya.
|
ipad vs notebook |
4.Penciptaan Semula Bukan Mencipta
Revolusi adalah
perkataan yang paling disukai oleh Steve Jobs. Setiap pelancaran produk Apple,
perkataan itulah juga yang sering menyinggung pengkritiknya kerana bagi mereka
Steve bukan pencipta yang tulen, tetapi hanya meniru dan meminjam daripada
teknologi yang sedia ada. Peranti muzik sudah lama wujud sebelum IPod dan
Smartphone juga mendahului IPhone. Malah langkah Apple meminjam beberapa idea
mengheret syarikat ini dalam tuntutan perundangan. Ternyata kelebihan Apple
adalah dengan menambah baik peranti komunikasi yang sedia ada.
Contohnya IPad pada
tahun 2001, Bill Gates memperkenalkan konsep produk tersebut dan dijangka
menguasai pasaran dalam tempoh lima tahun. Produk Microsoft gagal di pasaran
dan Jobs melihat peluang untuk membaiki produk tersebut mengikut acuannya.
Steve Jobs tidak pernah peduli sama ada IPad peranti yang terbaru atau tidak.
Yang lebih penting jualan yang dihasilkannya melebihi dua juta unit dalam
tempoh 60 hari pertama peranti ini diperkenalkan.
5.Tetapkan Jadual Sendiri
Beberapa minggu
selepas pelancaran IPad, HP menangguhkan pengenalan produknya yang dijanjikan
untuk menyaingi IPad. Microsoft juga dilaporkan menangguhkan produk yang
sama. Begitu juga syarikat Research in Motion yang menangguhkan pelancaran
produknya ke tahun 2011. Dikatakan bahawa produk tersebut mempunyai ciri yang
lebih kompleks daripada IPad yang mendapat sambutan memberangsangkan.
Keadaan ini memaksa
syarikat tersebut mengkaji semula produk mereka. Apple tidak pernah
terperangkap dalam saingan sengit sebegini kerana syarikat ini menetapkan
jadualnya sendiri. Jadualnya terbentuk mengikut acuan strategi dan ketetapannya
tentang produk dan cara untuk memantapkan matlamat jangka panjang syarikat.
Fokus jangka panjang syarikat adalah membolehkannya merangka sesuatu yang lebih
canggih dan membina masa depan dalam produk semasa yang dikeluarkan. Dekad yang
lepas menyaksikan Apple membina beberapa platform yang menyediakan landasan
untuk produk yang berikutnya. IPad adalah kemuncaknya yang dicipta berdasarkan
platform yang sedia ada dan hal ini memberi bayangan tentang bentuk produk dan
perkhidmatan Apple pada masa depan.
6.Khidmat Terbaik Kepada Pelanggan
Walau canggih sekali
pun produk peranti tersebut akan tiba masanya berdepan dengan sesuatu yang
tidak diingini berlaku. Syarikat daripada pelbagai industri terutamanya yang
berkaitan dengan komputer dan telefon bimbit mengambil strategi untuk mengelak
berdepan dengan rungutan pelanggan. Mereka menubuhkan pusat panggilan yang
dikendalikan oleh agen yang membaca skrip yang telah tersedia. Ketika Apple
merangka strategi peruncitannya, matlamat yang ingin dicapai ialah membuat
kedai yang berlainan sekali daripada kebiasaan industri komputer. Oleh hal yang
demikian tertubuhlah Genius Bar yang menjadikan perkhidmatan Four Seasons Hotel
sebagai teladan.
|
lupakan masa lampau, mula berfikir diluar kotak |
7.Lupakan Masa Lepas
Sepanjang sejarahnya
Apple mengadaptasi sistem operasi baharu dan reka bentuk cip beberapa kali.
Keputusan ini menyebabkan peranti yang digunakannya menjadi ketinggalan
serta-merta. Steve Jobs menggugurkan penggunaan cakera lisut dalam iMac dan
membayangkan yang “pemacu optikal” tidak digunakan dalam MacBook Air.
Dengan penggunaan
teknologi sentuh kanta, tetikus teknologi yang diperkenalkannya pada dekad
1080-an tidak dilupakan lagi. Kesanggupan Apple melupakan masa lepas dari segi
sistem operasi, proses pembuatan dan sebagainya membolehkan syarikat ini
membuat produk yang lebih baik. Keadaan ini membolehkan Apple berada di pinggir
yang dibenarkan oleh teknologi untuk membaiki produk keluarannya. Hal ini
dimantapkan lagi dengan strategi yang memaksa pelanggannya terus membeli versi
baharu produk keluarannya.
|
hebatnya Steve Jobs, beliau sendiri yang memperkenalkan produk ciptaannya dan memberi beliau sendiri memberi taklimat keistimewaan produk Apple ketika pelancaran produk beliau. |
8.Di Apple, Steve Raja
Berbeza daripada
syarikat teknologi yang lain, keputusan penting dibuat hasil daripada
perbincangan dari peringkat bawahan dan kebijaksanaan kumpulan digembleng
bersama. Di Apple, Steve ialah raja. Keputusan selalunya diputuskan oleh
kumpulan yang kecil dan yang menjadi titik penentu adalah di tangan Steve Jobs.
Dengan kumpulan yang kecil ini Apple mengeluarkan satu atau dua produk setahun,
tetapi produk tersebut ternyata mendapat sambutan. Berbeza daripada Google yang
biasanya melancarkan lebih daripada satu dozen produk setiap tahun, tetapi
kebanyakannya menempa kegagalan. Pendekatan Apple ini ternyata berjaya kerana
Jobs dan kumpulannya mengetahui apa-apa yang mereka mahukan dan keadaan ini
membuat mereka lebih fokus, tetapi yang lebih penting Steve Jobs ialah raja.
9. Persekitaran Tertutup
Di Apple
persekitaran kerja tertutup dan dilindungi rahsia. Apple menetapkan agendanya
sendiri tanpa mempedulikan saingan, pemerhati dan wartawan yang sentiasa
menyibuk untuk mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh Apple. Steve Jobs
sentiasa tidak memperdulikan apa-apa yang dikatakan oleh pesaingnya. Beliau
mereka produknya dengan acuan sendiri dengan mengambilkira nilai kesenian dan
pengalaman pengguna. Pendekatan tersebut menghasilkan produk Apple yang lain
daripada kebanyakannya.
|
sistem ios apple yang tiada tandingan |
10.Pengguna Diutamakan
Perdebatan dalam
industri teknologi komunikasi berkisar tentang sama ada perisian patut terbuka
atau tidak, iaitu sesiapa pun boleh mengakses ataupun tertutup. Bagi Apple,
perdebatan ini tidak perlu, yang lebih penting adalah sama ada syarikat membuat
produk yang lebih baik dan menguntungkan. Contohnya, Apple bersedia menerima
perlindungan hak dalam industri muzik kerana hal ini membantu syarikat ini
melancarkan produk iTunes. Begitu juga dengan tuduhan yang APP Store adalah tertutup
dan tidak mempunyai transparensi. Yang penting bagi Apple ialah APP Store
Berjaya dan memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada pengguna. Bagi
Apple, falsafah tersebut lebih bermakna daripada perdebatan yang tidak
menguntungkan.
Steve Jobs tidak
sempat menamatkan pengajiannya di university tetapi nasihat beliau kepada
siswazah Stanford University pada tahun 2005 amat tepat, “Kekal lapar, kekal
bodoh”. Kedua-dua prinsip inilah yang memandu beliau menghadapi cabaran
perniagaan dan kehidupan. “Kekal lapar” membawa konotasi yang kita seharusnya
lapar akan pengetahuan. “Kekal bodoh” menyarankan kita sentiasa mencuba benda
baharu walaupun kelihatan “kurang bijak” pada permulaannya. Kedua-dua prinsip
inilah yang mendefinisikan Steve Jobs.
Oleh: Rahim Aziz
Dewan Ekonomi, Disember 2010
*** semua imej dalam artikel ini diambil dari google.
Terima kasih kerana membaca artikel ini. Kita berjumpa lagi di artikel akan datang. Salam sayang dari saya. Love, huge & kiss.