13 Jan 2016 - selfie sebelum ke pejabat |
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya yang tersayang.
Awal tahun baru 2016, saya berehat sebentar dari menulis di blog kesayangan saya ini, harus diakui, ketiadaan mood adalah faktor utama kenapa saya tidak menulis.
Jika anda melihat ada artikel baru di paparkan di blog ini, kadang kala artikel itu sudah di tulis 2 atau 3 hari sebelumnya, termasuk artikel saya di 2 lagi blog milik saya.
Saya memerlukan masa untuk merehatkan minda dari menulis kerana menulis ini sebenar-benarnya amat memenatkan, walau anda mungkin lihat sebuah penulisan itu biasa sahaja dan mungkin juga lansung tidak menepati citarasa atau minat anda.
Saya menulis blog ini berdasarkan pengalaman hidup saya dan saya menggunakan medan blog ini berkongsi mengenai perjalanan suka duka dan apa yang saya amalkan dalam kehidupan saya seharian.
Ada perkara-perkara dan komen-komen serta whatapps , email mahu pun telegram dari para pembaca blog ini yang saya sendiri tidak pernah siar atau kongsikan walaupun tiada sebarang 'aib' yang perlu di sembunyikan dari setiap mesej-mesej dari setiap pembaca blog ini untuk saya.
Saya berterima kasih kepada anda yang sering menjadikan blog saya ini sebagai rujukan dan motivasi untuk anda dalam menjalani hidup yang lebih sihat serta mencintai bahan semulajadi serta motivasi untuk anda.
Ada waktu-waktunya saya sendiri harus merajinkan diri lagi untuk terus membaca dan mencari ilmu untuk dikongsikan dengan anda semua yang selalu memberi pelbagai soalan dan meminta pendapat dari saya.
Jika saya lewat membalas email, whatapp, telegram atau sebagainya (juga panggilan telefon) , saya harap anda faham bahawa ada waktunya saya sendiri ada sebab tertentu kenapa mesej-mesej anda memerlukan masa yang lama untuk dibalas.
Jika tiada artikel untuk beberapa hari, ketahuilah saya sendiri sedang membaca ilmu-ilmu di blog , group kesihatan di facebook dan mencari ilmu alam yang saya sendiri ingin amalkan dan kongsikan dengan anda.
Saya bukan hanya membaca satu atau dua blog sahaja, dan blog-blog yang saya baca juga bukan sembarangan blog, saya akan mencari segala sumber rujukan sebelum saya amal, insyaallah dan kongsikan dengan anda.
Walau bagaimana pun ingin saya ingatkan, sebagai makhluk tuhan, ilmu itu terlalu tinggi dan tidak tercapai di akal. Ilmu yang setiap dari kita punyai hanyalah umpama setitik air di lautan di hujung jari masing-masing, dimana luasnya ilmu berupa lautan dan ilmu yang kita ada hanya setitik halus dari itu.
Ada perkongsian dari saya yang sesuai dengan tubuh dan cara hidup anda, dan ada juga yang tidak berapa sesuai jika cara hidup dan pekerjaan anda berlainan. Cuba sesuaikan dengan apa yang anda terdaya lakukan.
Saya tidak menolak sama sekali perubatan moden atau produk moden, tetapi saya kini semakin cuba mengelakkan diri dari menggunakan bahan kimia kerana telah berpuluh tahun saya bergelumang dengannya.
Untuk anda mencintai bahan semulajadi daya tahan, kesungguhan, kerajinan, ketabahan, kegagahan dan jiwa kental amat diperlukan terutama jika anda dikelilingi sahabat yang memang cintakan segala produk moden , suntikan kecantikan, segala mesin kecantikan atau pisau-pisau kecantikan yang semakin tumbuh umpama cendawan selepas hujan di Malaysia apa lagi negara yang jauh lebih membangun.
Pilihan di tangan anda, apa sahaja pilihan anda pilihlah yang paling selamat kerana kesan jangka panjang dan akibat dari keputusan anda hari ini bukan akan mengambil masa sehari dua untuk anda menanggungnya di masa akan datang.
Terima kasih atas sokongan anda kepada blog kesayangan saya ini.
Kerana minat anda , memberi kekuatan untuk saya terus menulis di blog ini.
Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan