Isnin, 1 Oktober 2018

Bahaya Bahan Toksid Dalam Produk Kosmetik Wajah



Assalammuaalaikum wbt dan salam sejahtera.

Di zaman media sosial ini, semakin hari semakin ramai menggunakan produk kosmetik, baik golongan lelaki mahu pun wanita.

Lima puluh tahun dahulu, hanya golongan wanita yang terkenal memakai bedak di wajah, pada hari ini anda mula melihat lelaki mula berdandan dan memakai pelindung matahari dan bedak diwajah. Malah ada segelintir memakai pelembab bibir. Ini bukan bermakna mereka mempunyai perwatakan dan ciri-ciri untuk menjadi wanita, namun perubahan cuaca panas, kering dan penggunaan penghawa dingin di dalam kereta, pejabat mahu pun di rumah menyebabkan kaum lelaki juga semakin menitik berat perubahan kulit wajah yang semakin hari semakin ketara dengan permasalahan kulit. Maka anda tidak perlu hairan melihat jika dahulu hanya pencuci wajah dan syampu untuk lelaki diiklankan, kini mandian dan pelbagai lagi bahan kosmetik untuk lelaki diperkenalkan termasuk minuman kecantikan kulit.

Sayang seribu kali sayang, untuk menjadikan bahan kosmetik tahan lama dan mampu milik serta mempunyai kesan cepat serta kelihatan menarik, pelbagai bahan kimia digunakan sama ada bahan kimia itu memberi kesan toksid, karsinogen atau tidak.

Terdapat pelbagai bahan-bahan toksid dalam kosmetik, untuk hari ini kita belajar mengetahui dan jika boleh menghafal 5 nama bahan toksid ini. Selepas ini jika anda berjumpa produk yang mengandungi 5 bahan ini, cuba elakkan dari membeli produk tersebut.


1. Talc

Jangan terkejut. Talc bukan sahaja terkandung didalam bedak bayi atau bedak talkum wajah. Talc juga bahan yang terkandung dalam eyeshadow, bahan mandian, losyen, produk penjagaan peribadi wanita, bedak asas, gincu bibir, deodorant dan masker wajah. 

Tahukah anda, talc dikatakan karsinogen sehingga boleh mendatangkan risiko penyakit kanser paru-paru, malah jika disapu dibahagian tempat peribadi wanita, ia juga dipercayai boleh meningkatkan risiko kanser ovari.

Malah ada antara kes popular penggunaan talc dalam bedak bayi telah menyebabkan kes saman besar keatas syarikat jenama bayi terkemuka kerana dipercayai menyebabkan kanser.

Adalah lebih baik anda mengelakkan bahan mengandungi talc dan bertukar kepada bahan yang lebih selamat dan semulajadi.


2. Parabens

Bahan ini juga dikatakan terdapat dalam gincu bibir wanita dan produk penjagaan wajah seperti krim wajah dan sebagainya. Namun antara produk yang sering menggunakan bahan ini termasuk syampu, perapi, losyen, pencuci wajah dan skrub.

Dalam bahasa paling mudah, parabens ini dikatakan menggangu hormon wanita, termasuk hormon seks wanita. Tentu anda semakin faham betapa penting hormon yang stabil. Kaitan paraben dan hormon estrogen boleh ditemui jika anda melakukan research. Selain itu paraben juga dikatakan turut ditemui dalam tisu barah payudara sekaligus, dipercayai paraben turut meningkatkan risiko barah payudara. 


3. BHA / BHT

Bahan ini juga dijumpai dalam produk minyak bayi, lebih baik anda membaca kandungan minyak tubuh atau minyak wajah yang anda gunakan hatta produk itu tertulis minyak zaitun.

Selain itu BHA / BHT ini juga turut terdapat dalam produk bibir, produk rambut , makeup (eyeshadow, blusher dan sebagainya), produk pelindung matahari, deodorant, pewangi tubuh juga krim kecantikan wajah.

BHA / BHT dikatakan boleh menimbulkan alergi kepada tubuh. Selain itu BHA / BHT juga dikatakan berisiko menyebabkan kanser serta menggangu kesihatan reproduktif tubuh manusia. Jika anda menghadapi masalah kesuburan, seboleh-bolehnya elakkan bahan ini.


4. SLS / SLES

Sodium Laureth Sulfate ialah bahan paling kerap digunakan dalam produk berbuih. Sama ada mandian, sabun, syampu, ubat gigi, bahan pencuci pakaian, dan apa sahaja produk yang memerlukan buih (foam)  untuk digunakan diwajah dan tubuh. 

Penggunaan jangka masa panjang, produk yang mengandungi bahan ini dikatakan akan meninggalkan kesan sampingan seperti, kerosakan mata, depressi, kesukaran bernafas dan cirit birit. 

Dikatakan bahawa SLS / SLES ini kekal didalam sistem sehingga 5 hari. Ia memasuki organ hati dan mencemarkan ia termasuk paru-paru dan otak.  Malah ada pendapat mengatakan SLS / SLES turut menganggu sistem imun kulit dan merosakkannya.

SLS / SLES juga dipercayai tercemar dengan bahan 1,4-dioxane yang dikatakan antara penyebab kanser.

Kini terdapat pilihan ubat gigi tanpa SLS / SLES dipasaran, malah ia juga dijual dengan harga mampu beli.


5. Polyethylene Glycols (PEGs)

Polyethylene Glycols  ini antara bahan popular dalam produk seperti syampu, mandian, buih mandian, mandian bom yang popular sekarang juga produk yang memberi kesan lembut dan lembab pada kulit wajah dan rambut.

Produk yang memberi kesan lembut dan lembab ini juga dipercayai antara bahan karsinogen.  Pendedahan berpanjangan dan berlebihan kepada bahan ini dipercayai menggangu sistem saraf sekaligus tubuh manusia. 

Lebih membimbangkan, bahan ini dikatakan berbahaya digunakan atas kulit yang terluka, terbakar atau sensitif. Selain itu bahan ini juga dipercayai jika dicampur dengan bahan karsinogen lain akan meningkatkan gandaan penyerapan bahan berbahaya tersebut ke dalam kulit.

Seboleh-bolehnya elakkan terus produk yang mengandungi bahan  Polyethylene Glycols (PEGs) ini.

Setelah selesai anda membaca artikel ini, cuba lihat salah satu bahan-bahan yang terkandung dalam produk kegemaran anda.

Adakah ada antara 5 bahan diatas ini terdapat dalam kandungan produk penjagaan diri anda?. 

Jangan pelik, jika anda membeli produk penjagaan diri di drugstore atau farmasi, namun bahan-bahan ini tetap terkandung dalam produk yang anda gunakan. Jenama terkenal, mahupun perkataan organic tidak melambangkan produk itu selamat dari bahan-bahan yang disebutkan ini.

Selamat mengetahui dan menghafal 5 bahan bahaya ini.  Terdapat beberapa senarai bahan karsinogen lain yang juga perlu dielakkan dan akan diterangkan dalam artikel seterusnya .

Perlahan-lahan, anda perlu bertukar kepada produk yang lebih selamat. Terdapat pelbagai produk semulajadi kini diperkenalkan dipasaran. Anda hanya perlu rajin mencari, membaca dan menyelidik.


Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda, keluarga  dan insan tersayang.



Terima kasih.





Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...