Selasa, 5 April 2016

TEMPAT MAKAN BEST DI MELAKA PART 2 :- **** SAYYID ANTIQUE AND CAFE ****


pemandangan hadapan cafe antik ini
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya yang tersayang. Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda antara TEMPAT MAKAN BEST DAN MENARIK DI MELAKA.

Ini adalah sambungan artikel sebelum ini yang ditulis pada tahun 2013 lagi di link ini Tempat Makan Best Di Melaka - Part 1

cafe antik yang memukau dari pemandangan luar lagi
Terletak di lorong Hang Jebat, betul-betul di tengah bandar Melaka, Sayyid Antique And Cafe ini adalah tempat wajib anda singgah jika anda di Melaka.

Amat sesuai bagi mereka yang menyukai kelainan dan rasa makanan traditional asli yang berpatutan harga dan rasa , saya menggalakkan anda kesini.

pemandangan antik dari luar yang lain dari yang lain
Jika anda kesini, dari luar lagi anda akan melihat betapa antik dan berlainan cafe ini. Pada mulanya saya sangkakan ini adalah sebuah kedai yang menjual barangan antik tetapi agak kehairanan kerana terdapat meja makan dan papan tanda menunjukkan menu makanan dan minuman, setelah memasuki kafe menarik ini, saya terus memesan makanan dan minuman kerana tertarik dengan keunikan dan menu mudah serta ringkas. yang disediakan disini.


pilih sahaja anda ingin duduk diluar atau di dalam
Menghidangkan makanan dan minuman kegemaran orang Melaka, antara menu yang terkenal disini ialah laksa baba nyonya dan juga popia.

sambil makan sambil melihat barang--barang antik dan mengimbau masa silam
Sambil menunggu pesanan dihidangkan, anda boleh melihat dan mengimbau segala sejarah silam dan kisah lama disini yang akan mengamit memori anda terutama jika anda adalah pencinta seni dan barangan lama serta antik.

suasana yang sungguh menarik dan lain dari yang lain
Ketika memasuki kafe antik dan istimewa serta unik ini, saya mengandaikan menu disini pastilah agak mahal kerana dekorasinya yang lain dari yang lain serta menawan mata, Saya sekadar ingin memesan minuman ringan sahaja. Tetapi ternyata saya tersilap. Menu dan harga disini amat murah jika dibandingkan keadaan dan ketenangan serta mengamit kenangan memori lama di cafe indah dan unik ini.

indah dan unik
Memerhati kedua-dua abang dan kakak pemilik kafe antik ini menyediakan menu makanan pesanan saya dan Kak Tina disini, saya teringat kenangan lama ketika saya kecil dulu dan cerita-cerita lama yang pernah saya tonton di kaca television.

antara makanan selingan lain yang dijual. Cookies dan brownies Kak Tina juga dijual disini
Selain menu yang disediakan disini , anda juga boleh membeli hidangan sampingan lain seperti cookies, brownies dan tempeyek yang turut jual disini.

ruang makan yang luas dan selesa
Walau dikelilingi oleh pelbagai barangan dan hiasan antik dan unik, tempat makan dicafe ini tetap luas dan selesa, terasa tidak mahu balik dari tempat ini, kerana mengamit memori silam zaman kanak-kanak menonton pelbagai cerita hitam putih P Ramlee walaupun ketika itu saya masih belum dilahirkan lagi.

tempat penyediaan makanan
Anda boleh melihat dengan jelas segala hidangan yang disediakan disini. Saya memilih meja hadapan sambil kusyuk memandang sekeliling cafe dan segala hiasan unik dan keunikan sejarah BANDAR MELAKA itu sendiri.

cantik dan unik sekali kan?
Antara pemandangan cafe ini untuk tatapan anda di gambar-gambar dibawah.


tempat wajib anda singgah



Puas melihat keindahan kafe dan pemandangan antik yang lain dari yang lain di Cafe ISTIMEWA ini, masa untuk melihat menu menarik yang ditawarkan disini.

antara menu disini
Antara menu yang ditawarkan disini ialah nasi lemak RM4, Laksa Nyonya RM5, MEE / Mee hoon soto RM5, Lontong RM4, Popiah Basah RM1.80 dan Set Nasi RM5.

menu yang ditawarkan disini
menu minuman yang ditawarkan

Harga minuman disini juga murah dan berpatutan. Anda patut membawa kawan-kawan dan orang tersayang untuk menikmati hidangan disini kerana ia bukan sahaja menjimatkan wang malah memberi anda peluang merasai pengalaman baru di cafe sebegini.



Saya hanya memesan air limau suam ais dan Kak Tina Teh Limau Ais. Almaklum cuaca di Bandar Melaka amat panas, dan kami berbasikal kesini dan berpanas terik mengelilingi Bandar Melaka melawat pelbagai tempat. 

Laksa Nyonya dan Popiah Basah

menu pilihan kami LAKSA NYONYA yang berharga RM5 dan popiah basah berharga RM1.80

Pertama kali merasai laksa nyonya
Saya belajar menikmati Laksa Nyonya disini yang berharga RM5. Anda boleh pilih untuk lauk ayam, kerang atau udang atau ketiga-tiga sekali. Ia dimakan dengan kuah kari atau santan bersama sambal istimewa.

laksa nyonya yang sedap hanya RM5

Popiah Basah yang berharga RM1.80 juga sedap sekali
hanya berharga RM1.80 dan ia dikategorikan besar dan murah ditempat sebegini
menu wajib cuba disini Laksa Nyonya dan Popiah Basah

sambil minum pun masih kusyuk melihat sekeliling cafe antik ini
abaikan sahaja kullt saya yang sunburn teruk itu
Kali kedua saya ke cafe ini saya mencuba set nasi yang berharga RM8 iaitu set asam pedas ikan tenggiri.

muka keletihan kepanasan berbasikal ke cafe antik ini

soda bandung

suasana kafe antik ini

antara kudapan dan desert yang terdapat disini

nampak tak peti ais lama dan antik yang berwarna coklat itu? sungguh unik.

sila cuba menu menarik dan sedap ini

semua menu ini bersama nasi tambah dan brownies hanya RM19.50 Sahaja


asam pedas ikan tenggiri

brownies ini hanya berharga RM5 sahaja untuk 2 ketul sungguh murah

sila cuba brownies yang enak dan murah ini hanya RM5 untuk 2 ketul

set asam pedas tenggiri hanya RM8 sahaja 

Set asam pedas tenggiri disini hanya RM8. Set ini terdiri dari nasi putih, asam pedas ikan tenggiri yang pekat dan sedap, telur dadar, dan sayur timun, tauhu goreng dan telur rebus bersama sos 'homemade'.

Setelah selesai menikmati hidangan tengah hari kami, kami sempat melihat lagi cafe antik dan menarik ini berulang kali sebelum pulang.

tempat basuh tangan di cafe ini juga antik

Tunggu apa lagi, jika anda berada di Bandar Melaka, pastikan anda dan keluarga serta orang tersayang anda kesini. Dengan dekorasi unik dan antik serta menawan, makanan yang murah dan sedap. Ia memang berbaloi.

Semoga artikel ini membantu anda dalam menguruskan budget percutian anda di Bandar Melaka.

Terima kasih.

**** artikel seterusnya TEMPAT MAKAN BEST DI MELAKA PART 3



Isnin, 4 April 2016

15 KHASIAT & KEBAIKAN BUAH MULBERI @ MULBERRY


buah mulberry organik yang dibeli oleh saya
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya yang tersayang. Alhamduillillah akhirnya saya berkesempatan menikmati buah mulberi yang selama ini sering diwar-warkan khasiatnya di dalam laman-laman kesihatan dan group kesihatan.

Buah mulberry ini kini telah banyak ditanam di Malaysia.  Malah dalam pelbagai group tanaman di facebook juga telah ramai yang telah merasa hasil tanaman buah yang amat mudah hidup ini. Dikatakan dengan hanya menanam batang pokok mulberry ini ditanah, pokok ini jika disiram setiap hari akan mudah hidup subur sekali.

Pokok mulberry ini terkenal dari segi khasiat dari hujung akar sehingga ke daun mulberry itu sendiri tetapi untuk artikel ini saya hanya ingin berkongsi KHASIAT BUAH MULBERI ATAU MULBERRY ini dengan anda pembaca blog kesayangan saya ini.

1. Buah Mulberry merupakan antara buah yang tergolong dalam keluarga beri @ berry sekaligus antara buah yang tinggi antioksidan dan amat bagus untuk kesihatan dan kecantikan kulit.

2. Buah mulberry ini kaya dengan vitamin C, Kalsium ,zat besi, riboflavin, kalium dan magnesium.

3.  Buah mulberry ini amat sedap jika dibuat jem untuk dimakan dengan roti atau dimasak sebagai puri untuk dimakan dengan kek atau scone atau pancake.

4. Buah mulberry ini bukan sahaja bagus untuk kesihatan kulit, malah ia amat bagus bagi mereka yang menghadapi anemia, masalah buah pinggang, keletihan dan dikatakan bagus dalam merawat masalah rambut beruban.

5. Sesetengah orang menggunakan buah mulberry sebagai salah satu masker dalam perawatan wajah untuk kulit lebih cerah dan licin.

6. Buah mulberry juga dikatakan bagus untuk mereka yang menghadapi masalah kencing tidak lawas atau tidak boleh kencing serta mereka yang menghadapi masalah sembelit serta mereka yang mengidap migrain.

7. Buah mulberry ini juga boleh dijadikan gantian bagi kismis atau buah prune kering sebagai satu  alternatif lain.

8. Buah mulberry juga bagus untuk mereka yang menghadapi masalah pencernaan, mengurangkan masalah gastrik dan membaiki selera makan. Malah ia dikatakan turut membantu masalah kembung perut dan sembelit.

9. Mereka yang sering memakai kanta lekap dan menghadapi masalah mata kering digalakkan menikmati buah mulberry ini kerana dikatakan buah mulberry ini amat bagus untuk kesihatan mata

10. Buah mulberry juga amat bagus untuk kaum wanita khususnya wanita lepas bersalin. Buah ini mampu menambahkan darah, mengurangkan anemia, menambah tenaga dan mengurangkan keletihan,  Malah kaum ibu yang sukar tidur dan selalu pucat digalakkan mengambil mulberry sebagai makanan tambahan. Mulberry juga membantu dalam mengurangkan kebas tangan dan kaki sekaligus membantu ibu tidur dengan lebih nyenyak.

11. Resveratrol antioksidan yang terkandung di dalam buah mulberry ini merupakan antioksidan yang amat bagus dalam kesihatan jantung.

12. Di Asia buah mulberry ini dijadikan antara rawatan bagi penyakit cacing pita, arthritis, insomnia dan penyakit kulit seperti kurap.

13. Dengan segala antioksidan yang terdapat dalam buah mulberry dikatakan buah mulberry juga mampu mencegah penyakit kanser, diabetes, penyakit saraf, membantu melambatkan penuaan dan sebagainya.

14. Antioksida yang tinggi didalam buah mulberry juga dikatakan mampu mengurangkan bintik-bintik gelap diwajah dengan menikmatinya secara teratur.

15. Anthocyanin sejenis antioksidan yang kuat dan jarang terdapat didalam buah lain, adalah antioksidan yang terdapat dalam buah mulberry yang mampu memperkuatkan tubuh dan menjauhkan kewujudan serta menghapuskan bintik-bintik gelap diwajah. Ini antara sebab kenapa buah mulberry sering terdapat dalam pelbagai produk kecantikan dan produk pencerahan.


Ini sahaja antara KHASIAT BUAH MULBERI ATAU BUAH MULBERRY untuk perkongsian pada hari ini.

Harga buah mulberry ini tidak semahal harga buah beri biru atau blueberry import yang jauh lebih mahal. Sekurang-kurangnya ia adalah alternatif terbaik bagi menggantikan buah beri lain yang lebih mahal.

Jika anda mempunyai tanah untuk bercucuk tanam, jadikan pokok mulberry antara tanaman wajib yang harus anda tanam.

Semoga mendapat manfaat dari artikel ini.

Terima kasih.


Backpacker ....


bergambar di ruang makan di tepi scones yang dimasak oleh Kak Tina
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog saya yang tersayang. 

Untuk sementara waktu, sebelum saya meneruskan perkongsian mengenai khasiat, petua dan diet Ekzema yang seterusnya , saya ingin terus bercerita mengenai 'hidup dan diet baru' saya di tempat baru ini.


menikmati makanan di Khadijah Kitchen , restoran milik  Artis Khadijah Ibrahim
Hari pertama tiba di Melaka, Bandaraya yang bersejarah ini, saya menikmati masakan tengah hari di Restoran milik penyanyi Khadijah Ibrahim, iaitu Khadijah Kitchen. Saya hanya memilih menu bihun sup tulang dan ayah saya menikmati bihun goreng jawa. Saya akan menulis artikel lain mengenai tempat makan ini dalam waktu terdekat.

bilik saya yang kecil sahaja, sebelum dimasukkan kedua-dua beg pakaian saya dan perkakas lain yang dibeli disini

Alhamdulillah, berbekalkan 2 buah beg sahaja, almaklumlah saya datang kesini sebagai 'backpacker' kononnya, meninggalkan lambakan 'kotak-kotak pakaian, acesories, handbag, high heel' akhirnya saya kembali menikmati zaman 'antik' satu waktu dahulu. Ia kali terakhir saya tinggal dirumah kayu mungkin ketika saya darjah 5. Sekurang-kurangnya disini saya mengimbas kembali kenangan ala-ala masa kecil di kampung satu masa dulu.


tempat jemur pakaian yang berdekatan bilik saya
Memang indah pemandangan disini, kerana sesiapa yang mengenali diri saya tahu saya sebenarnya pencinta alam semulajadi , seni dan antik yang tersendiri. Banyak perkara menarik tentang 'traveller home' ini dan hiasan indah serta lukisan serta kisah menarik yang akan saya kongsikan dengan anda untuk artikel-artikel akan datang.

Melaka tidak lagi menggunakan beg plastik, pastikan anda tahu mengenai perkara ini
Untuk anda yang ingin ke Melaka. Pastikan anda tahu bahawa Melaka tidak lagi menggunakan beg plastik. Satu pujian yang cukup bagus untuk Menteri Besar Melaka ketika ini, kerana mencintai alam sekitar, dan tentu sekali saya juga antara orang yang menyokong penuh usaha ini. 

Hari pertama membeli belah, saya telah pun membeli beg membeli belah serbaguna berharga rm3.99 di Pasaraya Giant di Mahkota Parade.

gambar langsir atau ruangan dapur, lihat warna putih itulah kawasan bilik saya

Bangun pagi-pagi , turun tangga batu, melihat setiap lukisan yang cantik, bertemu segala binatang ternakan dan peneman disini, saya akan melalui segala kawasan cantik sehingga ke dapur. Belum lagi diwaktu malam, kawasan ini di terangi lampu antik membuatkan anda berada direstoran ala-ala di Bali, yang berseni dan penuh 'cerita'.

periuk nasi Elba yang boleh dibawa ke pejabat
Berbeza dengan rumah sewa atau bilik sewa, disini saya hanya menggunakan periuk nasi serbaguna untuk memasak pada hari pertama dan minggu pertama disini. Maklumlah, disini sebenarnya, tetamu atau penyewa tidak dibenarkan memasak. Maka, pada hari pertama saya membeli periuk nasi Elba di Seng Heng , dimana periuk nasi ini amat mudah dimasak, terdapat bekas khas didalamnya untuk masakan kukus atau sebagai bekas untuk mengisi lauk lain. Paling utama periuk nasi ini senang dibawa kemana-mana termasuk ke pejabat. Maaf , saya terlupa mengambil gambar bekas khas didalamnya.

beras perang non gmo, gluten free jenama ecobrown gold bersama tambahan lobak merah
Hari pertama dan seterusnya untuk minggu pertama disini lauk saya adalah ikan bilis goreng bersama percikan minyak zaitun dara palestin dan ikan bilis goreng yang di bawa dari Kuantan. Itulah masakan tengah hari saya, tetapi untuk sarapan dan makan malam saya sering membeli nasi lemak dikawasan berdekatan. Oh! saya juga menikmati sushi king jika saya sudah kebosanan yang teramat dengan diet yang sama.

Mujur, kerana sifat ramah tamah dan tidak malu saya, yang sering menyapa dan bercerita dengan Sis Tina atau kak Tina, akhirnya saya dibenarkan menggunakan dapur 'antik' beliau termasuk kuali kesayangan beliau. 

Harus diingatkan disini, sebenarnya, kawasan dapur dan tempat makan ini hanya dibuka kepada 'overseas guest' dan bukan kepada penyewa tetap seperti saya. Mengenangkan permasalah kesihatan saya dan diet yang saya sedang lalui , akhirnya Sis Tina mengizinkan saya melalui dan menggunakan kawasan ini, tetapi jika terdapat 'overseas guest' saya tidak dibenarkan memasak atau mungkin menganggu dikawasan privasi ini.

masakan telur organik dan kobis manis organik goreng yang mudah untuk masakan tengah hari
periuk ini saya beli hanya dengan harga RM12.90 di sebuah pasaraya disini ketika jualan murah. Terima kasih kepada michael dari Belgium yang membawa saya ke kedai murah itu.

Dapur dan tempat makan ini memang indah dan antik serta keseniannya sukar untuk saya ceritakan dan gambarkan disini. Oleh kerana sifat 'antik' dan unik tersendiri, selera saya juga disini tersendiri. Hari Isnin minggu pertama dan kedua disini, saya membeli ubi kayu di pasar dan menikmatinya diruang makan ini. Lain betul rasa menikmati ubi kayu disini.

Lava choc cake yang dimasak oleh kak Tina
Istimewa tentang Kak Tina, beliau bukan sahaja gemar dan pandai memasak, beliau juga menyediakan kelas masakan, Beliau menjual semua hasil masakan beliau di cafe-cafe terpilih. Hari kedua disini saya sempat merasa Kek Coklat Lava beliau yang sedap tetapi agak manis. Tetapi tetap sedap kerana ia dimakan panas.

pusingan kedua menikmati kek coklat lava
Saya menikmati dua biji kek coklat lava beliau, memang sedap kerana Kak Tina rajin mengoogle resepi, belajar dari pelancong-pelancong yang menginap disini mengenai cara masakan barat dan sebagainya. Beruntung sungguh saya berada disini.

cookies yang dijual oleh kak Tina
Selain itu kak Tina juga menghantar cookies beliau ke cafe-cafe terpilih. Saya menikmati cookies buatan Kak Tina di ruang menonton television. Tidak sedar , tidak sampai 3 minit 5-6 ketul cookies beliau saya habiskan. Memang sedap walau ia agak manis. Michael, pelancong yang kerap kesini dan tinggal lama disini juga amat mengemari cookies Kak Tina walau sebenarnya Michael bukan penggemar cookies.


Disini juga saya sempat menikmati 3 jenis brownies yang dimasak oleh Kak Tina. Ada brownies seperti kek yang ada choclate ganache diatasnya, brownies yang terdapat coklat ditengah-tengah dan juga brownies chewwy fudge yang agak manis tetapi enak kerana rasa chewwy dan fudge. Yang pasti memang sedap.

buah mulberi organik yang berharga RM2.99 beli 1 percuma 1
Pada minggu pertama dan kedua disini, saya masih mampu berjalan kaki dari traveller home ini ke pasar menjual buah dengan berjalan kaki sekeliling sungai tempat pelancong menaiki bot sehingga kehujung. Memang jauh. Tetapi masuk minggu ketiga disini, kerana cuaca yang sungguh panas terik dan kepenatan berkerja saya sudah 2 minggu tidak ke pasar membeli buah, saya hanya kekedai organik yang terdapat berdekatan Melaka Raya. Antara buah pilhan saya ialah buah mulberi organik yang ditanam di Johor. Ia, sekarang semakin ramai yang menanam sendiri dirumah tumbuhan ini.


bergambar bersama keluarga Ika, dan michael dari belgium- abaikan kulit 'sunburn' saya dan michael

cucur badak kegemaran kak Tina buatan ibu Ika , serius sedap
Sebelum saya menginap di bilik 'tetap' disini, Ika terlebih dahulu menginap disini. Ketika itu beliau bekerja sebagai pembantu chef di Hotel Hatten. Kini beliau telah kembali bekerja di Kuala Lumpur setelah dipanggil kembali oleh bekas bos beliau. 

Istimewa tentang Ika dan Keluarga beliau, mereka semua pandai memasak. Ibu beliau menjalanakan perniagaan katering. Saya sempat merasa beberapa ketul ayam goreng berempah masakan Ika yang amat sedap dibawa kesini untuk menu kami 2-3 hari. Banyak ayam goreng berempah beliau yang dibawa.

Keluarga Ika juga amat baik dengan Kak Tina kerana secara jujurnya, Kak Tina adalah wanita yang berpewatakan 'keibuan' walau amat tegas orangnya.

limpahan kuih yang dibawa oleh keluarga Ika yang merupakan hasil tangan mereka
Ibu dan ayah Ika amat baik dan ramah tamah orangnya. Hasil tangan dan masakan ibu Ika juga harus dipuji. Kuih Koci santan beliau memang sedap. Maklumlah ia menggunakan santan kampung.

Kuih Badak beliau juga karipap juga amat sedap sekali. Beza benar rasa kuih 'orang lama' buat , sungguh berbeza keenakannya. Saya memakan lebih 10 biji kuih koci buatan beliau tidak sampai 2 jam.

set ayam penyet wongsolo
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan saya, dan tahu antara menu kegemaran masakan indonesia saya ialah ayam penyet dari Restoran Wongsolo dan masakan indonesia di Restoran Bumbu Desa di KLCC.

Saya amat beruntung kerana diarea Dataran Pahlawan ini juga terdapat restoran Wongsolo iaitu antara restoran kegemaran saya semenjak di Kuala Lumpur lagi. Semenjak tinggal di Kuantan hampir 3 tahun saya memang lama tidak menjamah menu ini. Tetapi tinggal di Melaka saya kembali 'rajin' menjamah menu ini. Dalam seminggu hampir 3-4x saya menikmati menu ini sama ada untuk makan tengah hari atau makan malam kerana ada waktunya jika 'overseas guest' bermalam di traveller home saya menginap, saya tidak dibenarkan memasak. Oleh kerana saya ada diet yang perlu diikuti, wongsolo adalah restoran pilihan saya kerana ia menghidangkan ayam kampung.

jus alpukat kegemaran saya
Jus alpukat yang telah lama saya tidak dinikmati juga terdapat disini. Semua menu di wongsolo yang saya nikmati dengan kerap di Ampang dahulu, kebanyakannya turut berada disini. Jika anda juga pencinta masakan ini, sila datang kesini.


Dua minggu pertama saya disini , saya masih rajin ke Pasar pada hari saya tidak bekerja. Ia tentu sekali menu pilihan yang saya pilih adalah ubi kayu rebus.

buah-buahan pilihan bersama gula melaka asli dan kelapa muda parut
Berada di Melaka, menikmati Ubi kayu rebus panas bersama kelapa muda dan kelapa muda yang digaul dengan gula melaka asli memang amat enak, terutama jika anda menikmati makanan di ruang makan eksklusif yang menarik dan berseni.

antara buah-buahan pilihan
Dengan kesibukan bekerja, hanya hari saya bercuti atau tidak bekerja adalah hari untuk menikmati buah-buahan atau hari untuk saya membeli belah. 

ubi kayu rebus yang enak dimakan dengan kelapa muda dan gula melaka asli
Jika dihari bekerja saya hanya menjadikan biskut sahaja sebagai snek atau hanya menikmati minuman oat coklat untuk makan petang, pada hari cuti saya lebih suka menikmati sesuatu yang lebih sihat dengan memasak sendiri, itu pun jika tiada 'overseas guest' disini.

pisang emas organik
Disini saya hanya membeli produk dan makanan organik di kedai organik yang terletak di Melaka Raya, Saya hanya berkesempatan membeli pada hari cuti. Itu antara sebabnya kenapa kini saya semakin kurang menjaga diet harian saya. Dan untuk info hari bercuti atau off day saya hanya satu hari sahaja.

basikal yang digunakan oleh saya dan kak Tina
Di Melaka ini anda akan melihat pemandangan orang yang berbasikal termasuk pelancong-pelancong asing, selain beca cantik yang berhias. Saya juga berkesempatan berbasikal mengelilingi bandar Melaka bersama Kak Tina didalam cuaca yang amat panas kerana semua tahu Malaysia kini berhadapan dengan cuaca panas atau El Nino. Anda tentu tahu betapa 'panas' Melaka ini.

Saya berjalan kaki sepanjang sungai diwaktu pagi untuk ke Pasar membeli buah-buahan. Walau jam baru menunjukkan pukul 8am, tetapi matahari yang terik telah mula memancar-mancar disepanjang sungai terkenal Melaka ini. 

Untuk ke Pasar , saya perlu melalui sepanjang sungai yang terkenal untuk pelancong menaiki 'cruise' dan mengelilingi sungai melihat pelbagai rumah-rumah dan hotel-hotel yang antik dan cantik itu hingga hujung sungai dan berjalan lagi. Agak jauh sebenarnya dari Traveller home saya menginap.


menikmati makanan tengah hari disebuah cafe antik, lihat kulit wajah saya yang sunburn itu

Penat berjalan kaki, saya pulang ke traveller home dan menunggang basikal pula mengelilingi Bandar Melaka, saya bersama Kak Tina menunggang basikal kerana saya tidak fasih jalan di Bandar Melaka ini. Saya dibawa ke sebuah cafe antik yang terletak di Jalan Hang Jebat. Cantik sungguh kafe unik ini. Saya akan berkongsi dengan anda mengenai kafe ini dalam artikel seterusnya.

laksa baba nyonya dan popia
Di kafe antik ini saya belajar menikmati Laksa baba nyonya. Memang sedap. Anda patut cuba datang ke sini dan menikmati laksa murah ini. Hanya RM5 dan ia bersantan.

lidah buaya organik
Dengan cuaca yang sungguh panas, dan tentu sekali saya adalah orang yang berdarah panas (orang Ekzema dan TSW lagi berdarah panas). Saya memerlukan lidah buaya asli untuk disapukan dikulit saya yang 'sunburn' atau terbakar. Saya menggunakan lidah buaya organik. Saya menyapunya hanya pada hari saya betul-betul sunburn. Anda patut membaca artikel saya mengenai Khasiat Lidah Buaya di link ini http://little-queen-qkhadeeja.blogspot.my/2015/11/khasiat-kegunaan-lidah-buaya.html .

Ingin dinasihatkan disini , bahawa lidah buaya tidak boleh digunakan atau diambil setiap hari sebagai makanan tambahan kerana dengan kandungan gel lidah buaya asli yang banyak ia mungkin boleh bertukar menjadi toksik sama ada diminum atau disapu terus kekulit. Ini terpakai untuk lidah buaya segar dan asli.


bergambar bersama rakan-rakan sekerja yang merupakan adik-adik yang muda 13-15tahun dari saya

Walau berpanas disini , dan mempunyai hari cuti hanya sehari dengan perbezaan jadual bekerja saya sebelum ini, walau agak tidak sesuai dengan 'permintaan hati' saya masih suka bekerja disini lebih-lebih lagi disini saya berjumpa 'pelbagai perangai' dan personaliti yang mengingatkan saya pada zaman awal-awal saya mula memasuki dunia pekerjaan satu waktu dahulu.

Dira yang bertudung merah jambu
Disini juga nasib saya agak baik dan rezeki saya amat murah. Selain mendapat percuma masakan dari Kak Tina (ada juga yang saya beli, percuma hanya untuk tester atau rasa). Di tempat kerja pula saya sering mendapat sambal percuma dari gadis manis bernama Dira yang sering membawa bekal ke tempat kerja.

Malah kadang kala saya juga mendapat nasi putih dan lauk dari ibu beliau yang rajin memasak. Di Melaka ini juga saya kembali menikmati ayam berhormon yang hanya dimasak oleh orang yang saya kenali dan dirumah iaitu oleh Kak Tina, ayam berempah Ika dan juga masakan dari Ibu Dira sahaja. Tetapi seboleh-bolehnya saya tetap mengelak menikmati ayam berhormon kerana saya perlu menjaga diet saya kerana bimbang Ekzema saya kembali. Itu belum lagi setiap kek lobak dan pelbagai manisan dan dessert lain yang dimasak oleh Kak Tina yang diberi percuma dan saya beli.

Fruit scone yang dimasak oleh Kak Tina
Memang beruntung jadi saya disini. Pagi-pagi kadang-kala sebelum ke pejabat saya mendapat scone percuma dari Kak Tina, jika tidak cukup saya akan membeli. Paling saya suka ialah Kek Lobak hasil tangan Kak Tina, saya membeli Kek Lobak itu berkali-kali.


sarapan pagi scone dan kopi tenum
Saya lebih suka datang awal sejam ke pejabat dan bersarapan disini. Ia, bagi saya , wajib untuk saya mengambil mood dan semangat awal ke pejabat. Minuman wajib saya ialah kopi tenum sabah dan gula perang. 

Saya kerap juga menikmati roti sourdough sebagai sarapan pagi bersama mentega anchor, tidak lupa juga nasi lemak kegemaran saya.

bersama pekerja bahagian management disini
Oleh kerana saya selalu sampai sejam lebih awal dari waktu bekerja sebenar, maklumlah saya hanya perlu berjalan kaki sahaja kesini, saya kerap bersarapan dengan 2 orang pekerja management yang ramah tamah dengan saya disini. 

bergambar di dalam tandas 
Hakikatnya, saya juga wanita biasa. Saya juga sukakan lukisan dan saya juga suka bergambar didalam tandas yang cantik dan bersih serta berseni.

Di Melaka ini anda akan melihat pelbagai lukisan dimana-mana sahaja. Ia akan membuatkan anda peminat gambar-gambar lukisan berasa gembira dan berseni.

Ini sahaja perkongsian panjang dari saya untuk anda kali ini. Saya akan berkongsi dengan anda lagi di artikel akan datang. Insyaallah.

Terima kasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...