Jumaat, 3 Februari 2017

Biarlah..


Semakin dewasa.. Semakin anda malas untuk berbahas

Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Suatu waktu dahulu,  saya seorang 'fighter'.  Suka menegakkan pendapat saya yang saya yakin betul. 

Berada di zaman persekolahan sebagai wakil sekolah untuk syarahan dan perbahasan,  saya kerap muncul sebagai johan. 

Itulah perangai yang saya bawa sehingga masuk usia 20an. Sentiasa berbalah untuk membuktikan pendapat saya adalah betul. 

Seiring usia saya faham,  berbalah itu tidak ke mana. 
Raikan pendapat,  walau mungkin terang-terang anda yang betul. 
Suatu waktu dulu,  saya amat mengagumi cara sayidina Umar Al Khatab yang agak keras. 
Maklumlah perwatakan saya agak keras. 
Saya ingin selalu menang dan amat sukar untuk mengalah. 

Seiring usia dan pengalaman hidup. 
Melihat setiap hujah, komen,  status di Facebook dan media sosial,  saya semakin sedar manusia tidak akan menerima sesuatu itu dengan mudah sehingga mereka sendiri berlapang dada dan mencarinya. 

Tidak semestinya kita rasa kita betul semua dan condem mereka yang tidak sealiran dengan kita. 

Pendekatan keras atau memaksa adalah cara paling salah dan tidak relevan lagi digunakan. 

Baru saya faham,  mengapa Rasulullah SAW terkenal dengan akhlak dan peribadi yang indah sehingga melayan orang kafir dengan baik sehingga kematian baginda dan bagaimana orang kafir tersebut akhirnya memeluk islam. 

Keindahan menjadi pengikut tetap seseorang dan Blog mahu pun Facebook akan terencat apabila ada ayat dan status negatif yang seolah menyalahkan insan lain dan memaksa insan lain menerima hanya anda yang betul. 

Amat berbeza cara mendidik dan cara menyampaikan ilmu dengan cara paksaan dan tekanan. 

Suatu waktu dulu banyak perkara asas saya terlepas pandang. 

Mengapa digalakkan anda menanam sendiri. 
Mengapa digalakkan menikmati real food. 
Kenapa anda harus membaca label?. 
Kenapa Allah mendatangkan dugaan? 
Mengapa jangan tolak sesuatu itu bulat bulat? 
Kenapa kena Raikan perbezaan pendapat? 
Mengapa ke kadang tidak perlu cakap apa apa,  dan lebih baik diam dari memberi pendapat sendiri? 

Saya belajar satu perkara bahawa apabila saya tidak terjerumus dengan perbalahan pendapat,  emosi saya tenang dan saya gembira. 

Saya belajar dengan tidak mengomen apa-apa produk orang lain gunakan dan apa-apa yang orang lain makan saya jauh lagi gembira. 

Saya belajar kekal dengan pendirian saya dan saya langsung tidak berbalah dan pendirian itu kekal kuat pada diri saya. 

Saya juga belajar masa yang lama akan memberi jawapan apa yang anda pilih itu adalah yang terbaik atau tidak. 

Berhenti berbalah.  Manusia hanya ingin baca dan suka apa yang mereka suka dan tahu. 

Saya juga begitu suatu waktu dahulu. 

Cakaplah apa sahaja saya tidak akan terima. 

Banyak perkara yang perlu dipelajari dari asas. 

Ia memerlukan masa yang lama untuk mengkaji,  membaca dan fokus. 

Mereka yang sibuk dengan pekerjaan dan aktiviti harian tidak punya waktu membelek beribu artikel dan Blog,  kajian demi kajian kecuali mereka benar benar berminat dengannya. 

Tulis sahaja apa yang anda ingin tulis,  jangan mengutuk atau mengkaji sesiapa. 

Sama ada pasangan pilihan,  kehidupan pilihan,  makanan pilihan,  produk pilihan dan sebagainya. 

Hanya tulis Info berkaitan yang baik baik bukan yang mengeji dan negatif. 

Iklan hari ini bukan memburuk-burukkan sesiapa atau pesaing. 

Berubahlah dan hormati pilihan insan lain yang mungkin masih belum diberi hidayah dalam sesetengah ilmu. 

Ingatlah kita dahulu mungkin lebih teruk dari mereka dan mungkin akan datang mereka jauh lebih baik dari kita. 

Hidayah dari Allah bukan dari orang seperti kita. 

Jangan memaksa individu lain menerima apa yang tidak ingin mereka terima.


Terima kasih. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan