Rabu, 10 Jun 2020

Pengalaman Menggunakan kurier DHL untuk menghantar barang ke Luar Negeri ( Singapura)




Diabadikan transaksi mesej, wasap, print screen segala dalam canvas ini


Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera.

Cukup lama tidak menulis blog, kali ini sebuah coretan ringan bagi mengingati Ramadhan tahun 2020 ketika Covid-19 menyerang seluruh dunia.

Bagaimana Malaysia dan negara jiran terdekat juga tidak terkecuali. Melihat dan menunggu berita berapa kes Covid-19 di Malaysia dan seluruh dunia dan bagaimana New Normal bermula di 3 bulan pertama di Malaysia.

Banyak perkara yang berlaku, namun satu yang harus diketahui tiada apa yang berlaku kecuali ada sesuatu yang lebih baik menunggu. Maka pelbagai perkara baru di pelajari dalam 3 bulan PKP ini.

Apa yang dipelajari selama 3 bulan ini pasti akan dikongsi dengan penuh info dan maklumat dalam blog ini untuk mereka yang kekal singgah membaca di blog ini walaupun beberapa tahun kebelakangan blog ini di akui amat jarang dikemas kini.

Tiada janji manis mampu di buat, namun semestinya sebagai blogger sehabis baik saya akan menulis dan memberi info agar anda yang singgah di blog ini merasakan berbaloi artikel yang ditulis dan memberi manfaat tersendiri.

Di artikel kali ini, saya hanya ingin berkongsi, betapa beberapa tahun ini saya menerima beberapa tempahan Crunchy Flakes dari pembaca blog ini. Namun atas sebab-sebab tertentu banyak tempahan telah ditolak dan pemberhentian Crunchy Flakes ini juga memakan tahun.

Sejujurnya, saya bukan jenis manusia yang jiwanya memasak, namun apabila menerima tempahan dari pembaca blog dari negara jiran, SINGAPURA, hati saya agak tersentuh kerana sanggup memberi kepercayaan di musim COVID-19 ini dengan menempah CRUNCHY FLAKES dari pembacaan dari artikel mengenai GAM ARAB atau ARABIC GAM di blog ini.

Dari pembacaan satu artikel GAM ARABIC yang saya kira ditulis mungkin dalam tahun 2014 (maaf saya malas mencari artikel itu di blog ini untuk menyiasat tarikh), yang turut di selitkan promosi CRUNCHY FLAKES.  Pembaca dari Singapura tersebut yang cukup saya gelarkan Saudari Seri, akhirnya menempah 30 botol Crunchy Flakes dari saya.

Pada mulanya saya agak berat menerima tempahan tersebut, lebih-lebih lagi di musim COVID-19 ini, namun sudah rezeki untuk kami berdua berurusan akhirnya saya menerima tempahan tersebut dan mengambil masa hampir sebulan untuk menyudahkannnya. Ia 2 minggu untuk menempah bahan-bahan secara online yang mengambil masa seminggu ke 2 minggu untuk sampai dari SHOPEE. Dan pelbagai carian bahan lain lagi.

Siap di masak dan dibungkus, ikut perkiraan awal ingin menggunakan J&T express namun saat bungkusan 2 kotak besar di hantar, J&T Express rupa-rupanya menghentikan sementara penghantaran makanan apa lagi ke luar negara. Apabila ke pejabat Pos Malaysia, Pos Malaysia ketika itu menunggu maklumat baru penghantaran ke Singapura kerana parcel terlalu banyak di AIRPORT atau KLIA.

Ia mungkin nampak sukar dari penceritaan,  namun realitinya terlalu mudah. Pergi ke J&T walau pun beratur panjang namun di tegur dan di beritahu oleh pelanggan di hadapan bahawa pihak J&T tidak menerima bungkusan makanan, terus ke hadapan bertanya staff J&T sendiri dan mereka mengakuinya. Lansung tidak membuang masa, teruk ke Pejabat Pos. Oleh kerana staff pejabat Pos juga sedang menjaga barisan pelanggan yang beratur di luar pejabat pos, sekaligus membantu memudahkan kerja untuk terus bertanya maklumat tanpa perlu beratur panjang. Maka saya terus balik dan menghubungi beberapa syarikat kurier lain sehingga saya memilih DHL, satu-satu syarikat kurier yang saya kira paling terbaik di Kuantan ini. Namun biasalah, terbaik bermaksud anda perlu membayar harga lebih untuk perkhidmatan terbaik.

Dari permulaan urus niaga segalanya amat mudah dengan saudari Seri. Dari pemindahan wang dari akaun Singapura ke akaun saya di Malaysia. Asalnya saudari Seri sendiri pertama kali memindahkan wang ke Malaysia dari DBS Bank.  Permulaan order dari saudari Seri amat menyenangkan dan memudahkan, ini adalah antara rezeki pelanggan yang memberi pengalaman mudah dalam berurusan. Bayangkan dengan mudah saya memberitahu harga Crunchy Flakes yang dahulunya RM10 ketika ini saya tidak tahu harga berapa kerana telah lama tidak membeli bahan, saudara Seri memberitahu kira sahaja dan beliau sanggup membayarnya. Setelah pengiraan bahan-bahan dibuat, saya meletakkan RM15 harga baru sebotol berbanding RM10 sebotol sebelumnya dan saudari Seri terus bersetuju membayarnya untuk 30 botol. Maka dengan senang saya meletakkan harga RM14 sahaja sebotol dan hanya perlu di darabkan dengan 30 botol. Mengikut pengiraan saya hanya anggarkan kos penghantaran RM200 menggunakan J&T express, namun di peringkat akhir, saya memilih menghantar menggunakan DHL, dimana kos penghantaran ke Singapura ini ialah RM350 untuk dimensi kotak yang digunakan. Pada mulanya saya ingatkan berdasarkan berat, rupanya DHL menggunakan pengiraan dimensi kotak. Saya menghantar 35 botol crunchy flakes itu dengan nilai pengeposan RM350 ke Singapura. 5 botol itu hadiah dari saya sempena bulan Ramadan.


Satu pujian yang harus diberikan kepada perkhidmatan kurier DHL ini. Perkhidmatan kaunter DHL di Kuantan ketika PKP ini memang terbaik. Staff yang melayan saya amat sabar dan nampak kesungguhan menolong dengan perkhidmatan beliau menyusun kembali Crunchy Flakes ini kedalam kotak DHL. Info yang diberikan bahawa DHL ini mempunyai flight sendiri dan penghantaran dalam 24 jam, cuma kerana esoknya hari cuti, maka Crunchy Flakes saya akan sampai lusa.

Rujukan kurier di berikan kepada saya, dan saya mengikuti atau mengawasi perjalanan bungkusan ini melalui laman web. Dan benar sekali, selepas 24 jam (tolak sehari cuti di Malaysia). Esoknya bungkusan ini selamat tiba pada penerima Saudari Seri di Singapura.

Bayangkan ketika ramai orang Malaysia sibuk membising, courier dan barang yang di pesan dari Malaysia sendiri, satu negeri, berlainan negeri yang mengambil masa paling kurang 2 minggu dan memasuki bulan, namun rezeki dan kemudahan serta kepantasan khidmat kurier DHL, pengiriman ke Singapura hanya 24 jam sahaja sampai walaupun di musim COVID-19 yang juga bulan Ramadan 2020. Memang berbaloi-baloi kos RM350 itu walaupun hanya untuk 35 balang Crunchy Flakes.

Untuk makluman, pembeli dan pembaca blog saya yang bergelar saudari Seri juga tidak kisah apabila saya memaklumkan kos penghantaran ialah RM350 dan perlu tambah RM150. Beliau terus tranfer kos penghantaran ini tanpa perlu banyak bersoal jawab. Asalnya saya target dari RM200, hanya tambah RM100, rupa-rupanya ketika tiba di DHL Kuantan, jumlah sebenar ialah RM350. Sekelip mata saudari Seri setuju dan terus tranfer RM100, kemudian RM50 lagi. Mudah sungguh urusan ini. Alhamdulillah. Ini adalah antara rezeki yang paling indah untuk tahun 2020 apabila anda mendapat pelanggan yang tidak berkira dan mudah berurusan. Benar rezeki sebenarnya bukan sahaja dalam bentuk wang dan kemewahan, ia juga dalam bentuk kawan yang bersama susah senang, kasih sayang yang ikhlas dan setiap kerja yang mudah dan lagi menyenangkan.

Seperti yang dijanjikan alhamdulillah, Crunchy Flakes by QK selamat tiba di tangan saudari Seri dari Singapura sebelum raya Aidilfitri 2020. Tujuan utama saudari Seri ialah untuk di hidangkan pada hari raya Aidilfitri ini.

Seminggu selepas raya atau kurang dari itu, saya dihubungi pula oleh adik Seri untuk menempah Crunchy Flakes lagi. Kali ini jumlah tidaklah sebanyak Seri. Atas sifat kakak beliau yang menyenangkan, akhirnya saya dengan mudah menerima tempahan ini walau pun kecil. Sejujurnya saya tidak akan menerima tempahan Crunchy Flakes jika ia kurang dari 12 botol. Ini kerana bahan-bahan Crunchy Flakes dan produk ini bukan jenis tahan lama. Hanya bertahan selama 3 bulan sahaja. Ini alasan kukuh mengapa CRUNCHY FLAKES ini memang freshly made atas order (pesanan khas) sahaja.

Bagi mereka yang mungkin ada urusan penghantaran ke luar negara. Saya mengesyorkan anda cuba menggunakan perkhidmatan kurier DHL ini.

Artikel ini bukan untuk mempromosikan DHL. Namun ia sekadar, pengalaman saya menggunakan perkhidmatan kurier DHL ini pada musim COVID-19 dan kini saya faham mengapa saham DHL ini mahal dan berkualiti tinggi di Amerika Syarikat. Jika saya ada peluang dan rezeki, dan saham DHL ini adalah lulus dari segi syariah, mungkin saham DHL ini juga akan saya beli suatu hari nanti. Doakan.


Semoga coretan pengalaman ini membantu anda jika anda sendiri masih tidak pasti ingin menggunakan kurier mana untuk menghantar produk anda atau bungkusan anda ke luar negara.

Terima kasih.


** sebagai kenangan saya abadikan Instagram story ini di salah satu video utube di saluran YouTube Qisya Khadeeja.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan