Rabu, 25 April 2018

10 Cara Untuk Membakar Lemak di Perut dan Mengurangkan Perut Buncit


10 cara untuk membakar lemak di perut dan mengurangkan perut buncit



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera.

Ramai individu menyangka bahawa kurang makan dan rajin bersenam membantu mengurangkan berat badan.

Maka ramai yang mengambil masa lebih 2-3 jam hanya untuk bersenam dan mengurangkan lemak dalam badan tanpa mengambil tahu keadaan tubuh sebenar.

Bersenam perlulah sesuai dengan keadaan tubuh dimana setiap aktiviti yang dilakukan oleh tubuh boleh ‘diperbaiki atau disembuhkan’ oleh tubuh. Kebanyakan individu masih tidak faham bahawa tubuh perlu ‘sembuh’ setelah beraktiviti terutama aktiviti lasak. Kadar kesembuhan tubuh itu menentukan berapa banyak lemak dan sel tubuh yang diperbaiki. Itu antara alasan mengapa sesetengah individu yang melakukan aktiviti senaman yang melampau batas, sekaligus menyebabkan tubuh sukar untuk ‘sembuh’ dan mereka merasa kecewa kerana tubuh masih berkeadaan ‘biasa’.

Menurut Dr Eric Berg, aktiviti dan senaman yang dilakukan akan menjadi bernilai jika tubuh boleh ‘sembuh’ atau ‘memperbaiki ketika proses itu selesai’. Dengan kata lain, ketika melakukan aktiviti kalori dibakar, namun lemak dan penyembuhan tubuh berpandukan kepada tindak balas tubuh itu sendiri. Agak sia-sia jika melakukan aktiviti terlalu lama namun sebenarnya ‘mencederakan’ tubuh sekaligus tubuh mengambil masa membaiki ‘luka’ didalam dan tidak dapat fokus membakar lemak dan membaiki sel serta menyeimbangkan hormon yang berkenaan.

Dalam melakukan aktiviti senaman dan aktiviti lasak, pastikan ia tidak mencederakan tubuh kerana aktiviti yang dilakukan sebenarnya memerlukan tubuh kembali untuk penyembuhan, penyembuhan inilah sebenarnya menentukan berapa banyak lemak boleh dibakar. Maka pastikan aktiviti senaman yang dilakukan berkualiti dan memberi kesan positif kepada tubuh bukan sekadar rasa penat dan kecewa. Kenali tubuh anda sebelum fokus melakukan aktiviti tertentu. Apakah tubuh anda memerlukan masa sekejap atau lama untuk penyembuhan aktiviti tersebut?.

Selain melakukan aktiviti yang sesuai dengan tubuh, berikut antara perkara yang anda boleh lakukan untuk membantu pembakaran lemak di perut anda sekaligus mengurangkan perut buncit.


1. Hanya 3 Menu Makanan Sihat Sehari

Masyarakat kerap digembar gemburkan makan dalam kadar sedikit tetapi kerap. Namun Dr Eric Berg menerangkan, setiap kali anda makan, setiap kali itulah anda akan menyebabkan kadar insulin meningkat. Ini juga termasuk menu sihat apa lagi menu tidak sihat.

Dr Eric Berg mengesyorkan hanya 3 menu sehari atau sebaiknya 2 menu sehari jika anda punyai impian untuk mengurangkan lemak di perut anda.

Jarak jangka masa yang lama antara menu ini akan memberikan lebih masa, tenaga dan penyembuhan tubuh untuk memecahkan lemak dan memperbaiki apa yang harus diperbaiki. Pastikan menu yang dipilih ialah menu yang sihat.

Agak sia-sia anda menikmati hanya sedikit makanan tidak sihat untuk membuang lemak, adalah disyorkan anda menikmati makanan sihat dalam kuantiti lebih banyak untuk sekali makan.


2. Kurangkan snek walaupun ia snek sihat

Hari ini semakin ramai yang rajin menikmati snek walaupun ia adalah snek sihat. Dari kekacang, biskut sihat, roti sihat, sandwich sihat dan pelbagai snek lain. Harus diingatkan lebih banyak anda makan, lebih waktu tubuh anda akan bekerja dan lebih kerap kadar insulin di’kejutkan’.

Makan 3 kali atau 2 kali sehari, nikmati makanan sihat yang anda ingin nikmati ketika ini, jangan terlalu kerap makan dan mengunyah, anda tidak akan mati jika anda makan 3 atau 2 kali sehari sekali pun.


3. Kadar Protein yang sesuai

Dr Eric Berg mengesyorkan pengambilan protein dalam 3oz ke 6oz sahaja sehari. Malah jika anda mampu tanpa protein lebih baik. Lebihkan sayur-sayuran itu paling utama.  Pastikan anda menikmati protein sihat bukan protein proses. Pilih daging sebenar dan organik jauhkan daging proses. Ini termasuk dalam pemilihan produk tenusu yang kaya protein.


4. Pengambilan sayur-sayuran yang lebih banyak

Sayur-sayuran amat disyorkan oleh kebanyakan doktor dan pengamal kesihatan semulajadi. Sayur-sayuran terutama sayur-sayuran hijau. Kebanyakan individu didunia amat kurang menikmati sayur-sayuran segar. Malah pengamal diet sayur-sayuran atau vegetarian lebih menikmati makanan berunsur kekacang dan gandum penuh serta bijirin berbanding sayur-sayuran.

Dr. Eric Berg mengesyorkan pengambilan sayur-sayuran sehingga 7 cawan sehari untuk diet yang membantu membakar lemak dan menjadikan seorang individu itu lebih sihat. Sayur-sayuran mengandungi pelbagai vitamin dan zat galian terutama potassium yang sering didapati antara vitamin atau galian yang sering kekurangan dalam tubuh kebanyakan individu. Lebihkan sayur-sayuran segar dan hijau dalam pemakanan anda, pilih sayur dan buah yang berwarna, lebih gelap lebih bagus dan tinggi antioksidan. Jika anda sukar menikmati sayur-sayuran ini, jadikan ia jus atau smoothie yang mudah ditelan.


5. Lemak Baik

Makanan yang mengandungi lemak baik dan asid lemak baik seperti omega 3 amat digalakkan di amalkan dalam pemakanan seharian. Makanan yang mengandungi lemak baik seperti ikan salmon liar, ikan laut dalam, avocado, minyak kelapa dara, mentega asli, minyak sapi dan minyak zaitun antara makanan yang kaya lemak sihat dan amat bagus untuk mengurangkan lemak. Harus diingatkan jika anda ingin lawan lemak, lemak mesti lawan lemak. Yang membezakan lemak baik lawan lemak sihat.


6. Cukupkan keperluan Potasium

Tahukah anda apabila anda stress akan menyebabkan kekurangan potassium dalam tubuh?. Dengan kehidupan era moden yang penuh tekanan dan stress ini sama ada ditempat kerja, rumah, jalan raya mahu pun pusat membeli belah, maka kebanyakan individu di era ini menghadapi masalah kekurangan potassium. Tambah makanan tinggi potassium dalam pemakanan seharian anda, antara makanan yang tinggi kandungan potassium ialah sayur-sayuran terutama sayur-sayuran hijau yang segar seperti salad, kale, sawi, capcicum dan pelbagai lagi. Jika anda tidak sukakan sayur anda boleh belajar menikmati avocado yang terkenal dengan kandungan potassium. Pisang juga mengandungi potassium, namun bagi sesetengah individu memakan pisang lebih dari 2 biji sehari akan menambahkan kadar gula dalam darah walaupun ia gula semulajadi kerana cara hidup yang tidak aktif. Untuk lebih mudah sila minum jus sayur hijau dengan campuran buah kurang gula seperti blueberry atau epal hijau.


7. Cuka Epal atau cuka buah

Cuka buah dan cuka epal telah terkenal beribu tahun dahulu sebagai salah satu makanan sihat yang membantu pencernaan, menyihatkan serta membantu memecahkan lemak serta mengeluarkan sesetengah toksin dari tubuh. Cuka epal mengandungi laktik asid yang amat bagus untuk tubuh. Amalkan cuka epal seminggu 2 atau 3 kali sesuai keperluan tubuh. Anda boleh tambah cuka epal dalam salad atau jus buah anda.


8. Tidur Yang Berkualiti

Tidur nyenyak dan berkualiti amat diperlukan tubuh. Ketika tidur ini dikatakan tubuh melakukan proses penyembuhan dan membakar lemak ditubuh serta mengeluarkan toksin. Maka anda perlulah pastikan tidur anda harus berkualiti. Pastikan waktu tidur anda dalam cahaya gelap dan jauhkan barang elektronik seperti telefon bimbit dan laptop dari berada berdekatan anda.  Untuk mendapatkan tidur nyenyak anda perlu melakukan aktiviti yang boleh membantu melenakan tidur. Antaranya berjalan kaki jauh, berjemur dengan cahaya matahari di waktu pagi untuk sinaran vitamin D dan mengelakkan makanan berat sebelum tidur, malah ada sesetengah sayur-sayuran yang boleh menyebabkan ‘kembung @ bloating’ tidak sesuai dimakan sebelum tidur kerana ia akan menganggu pencernaan dan tidur anda.


9. Aktiviti dan Senaman Berkualiti

Aktiviti seperti senaman haruslah sesuai dengan kesesuain dan keadaan tubuh anda. Antara aktiviti yang disyorkan ialah berjalan kaki jauh sambil menghidu udara segar di taman yang dipenuhi dengan pelbagai pokok menghijau. Berlari di tepi pantai yang bersih juga bagus. Anda boleh berlari dengan laju dalam 5 minit kemudian kurangkan kelajuan, kemudian berlari laju kembali 5 minit dan kemudian perlahan sesuai keadaan tubuh anda. Ini jauh membantu dari anda terus-terusan membuat aktiviti berat selama sejam, bimbang jika tubuh anda tidak mampu membaik pulih sel yang anda tidak nampak tercedera atau tidak dan mengambil masa yang lama untuk pemulihan. Aktiviti senaman yang ekstrem bukan sahaja membahayakan malah ada waktunya lebih menyukarkan tidur yang lena kerana tubuh anda sedang sakit dan memerlukan baik pulih yang anda sendiri tidak nampak.


10. Elakkan Stress atau Tekanan

Tekanan atau stress adalah isu yang sukar dielakkan oleh semua individu didunia ini. Stress atau tekanan hidup haruslah diuruskan dengan baik dan bijaksana. Dalam dunia hari ini, ada banyak perkara yang menguji minda dan membuatkan selepas satu isu selesai, isu yang lain pula timbul baik ditempat kerja, rumah, insan dan keadaan sekeliling dan pelbagai isu yang tidak pernah habis. Sebagai manusia biasa, perkara paling utama ialah memilih cara terbaik dalam menanganinya kerana setiap perkara yang terjadi itu hanya sementara dan pasti ada cara penyelesaian terbaik. Tugas manusia adalah untuk memudahkan ia dan memilih keputusan terbaik. Stress dan tekanan juga amat berkaitan dengan lemak diperut. Ini kerana hormon adrenal turut berkaitan dengan stress. Stress yang berpanjangan ditambah pemakanan dan cara hidup yang tidak dijaga akhirnya akan menyebabkan lemak bertapa diperut dan sukar dibuang.


Selamat mencuba 10 Cara Membakar Lemak di Perut ini.

Terima kasih.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan